Selasa, 12 Ogos 2014

KAEDAH TUT TERKINI

Assalamualaikum wrt

Saya nak kongsi dengan ramai orang inovasi baru dalam pembiakan tanaman KAEDAH TUT.
Tujuannya nak betulkan kaedah atau teknik sebelum ini mungkin salah faham menyebabkan peratusan kejayaan rendah. Di antara factor dikenalpasti mengapa TUT kurang menjadi ialah:

1. Media lembap atau terlalu lembap - sebab media nak di kepal
2. Ikat dibahagian tengah balutan longgar - hanya ikat di dua hujung kepalan atau balutan sahaja
3. Buat kelaran atau kikisan cambium tidak sempurna
4. Pilih dahan terlalu muda atau kecil
5. Memang tak mahir nak buat - asal buat je...
Proses kerja mengeTUT dahan tanaman sebelum ini:
1. Pilih pokok
2. Pilih dahan
3. Buat kelaran
4. Kikis cambium
5. Buat campuran media perakaran
6. Membalut media pada kelaran yg dibuat
Saya kenalkan kaedah terkini, ciptaan pensyarah saya SENDIRI
Tak perlu kelar
Tak perlu kikis
Tak payah buat campuran medium
Tak payah lembapkan media
HANYA CERUT KUAT GUNA DAWAI HALUS MENGGUNAKAN PLAYAR KECIL, BALUT CERUTAN TERSEBUT MENGGUNAKAN MEDIUM KERING ATAU PEATMOSS. BALUTAN MENGGUNAKAN ALAT KHAS (TEK-TUT AKM) DAN PLASTIK JERNIH.  Insyaallah, lebih pantas, lebih mudah, lebih tinggi peratus kejayaan (90 - 100%). 

AKU SEORANG INSAN BERDOSA

Manusia sering alpa, leka dan lalai. Manusia juga sering terperangkap dalam kesilapan, kesalahan, dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Itulah manusia. Allah sentiasa memberikan peringatan kepada hamba-hamba-Nya tentang kelemahan diri mereka sebagai manusia dan menggariskan panduan atau cara terbaik untuk mereka mengawal diri, perasaan serta tingkah laku. Begitu juga dengan cara menyucikan jiwa. Allah juga turut menegaskan bahawa setiap manusia akan menerima balasan daripada apa yang mereka usahakan dalam kehidupan mereka di dunia ini. Justeru itu, mereka amat perlu berhati-hati dan perlu memastikan bahawa mereka memilih jalan yang benar dan tepat.

  • Terjemahan : “Sesiapa yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberikan pembalasan dengan kejahatan itu dan tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) menolong baginya selain Allah.” (Surah al-Nisa’ 4:123)
  • Terjemahan : “Dan tidaklah seseorang membuat dosa kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Surah al-An`am 6:164)
  • Terjemahan : “Dan kamu pula tidak dianggap berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dianggap berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.” (Surah al-Ahzab 33:5)



Selain itu, Allah s.w.t. turut mengingatkan bahawa manusia perlu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan atau perbuatannya. Manusia tidak wajar sama sekali meletakkan kesalahan ke atas diri orang lain. Allah s.w.t. menjelaskan :


Di samping semua perkara ini, kita tidak wajar menjadikan kelemahan semula jadi kita sebagai alas an atau sebab untuk meneruskan tabiat buruk dan perbuatan keji yang telah dilakukan selama ini. Kita tidak harus sama sekali menganggap bahawa dengan fitrah kita yang lemah dan kerdil, kita memang akan cenderung tersilap. Atau kita menganggap bahawa sering lalai kerana itulah juga sifat semula jadi kita sebagai manusia. Dalam perkara ini, apa yang cukup penting ialah kita tahu untuk membezakan antara kesilapan dan dosa yang disengajakan dengan yang sebaliknya. Dalam satu ayat, Allah menjelaskan :


Allah sememangnya mengasihi dan mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa bertaubat dan berusaha menjauhi dosa. Dengan bertaubat dan berusaha dengan apa cara jua pun untuk menjauhi maksiat serta meninggalkan dosa yang pernah dilakukan, akan menjadikan seseorang hamba yang lebih baik daripada sebelumnya. Malah ia juga akan menjadi seorang insan yang sentiasa berhati-hati dalam tindakannya. Jiwanya lebih suci, hatinya sentiasa cenderung kepada kebaikan dan hidupnya lebih terarah menuju cita-cita yang diredai Allah.
Fudalah ibn `Ubaid berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda ketika haji wida’, ‘Mahukah kamu jika aku beritahu tentang mukmin?’ Mukmin ialah orang yang manusia lain amanahkan harta dan diri mereka kepadanya (orang lain berasa aman daripada gangguan terhadap harta dan diri mereka). Muslim ialah orang yang manusia lain terselamat daripada lidah serta tangannya. Manakala Mujahid ialah orang yang dapat menundukkan nafsunya untuk sentiasa taat kepada Allah Ta’ala sementara Muhajir pula ialah orang yang meninggalkan semua dosa dan kesilapan (yang telah dilakukannya).’
Walau bagaimanapun, seperkara yang perlu kita ingat ialah kita perlu istiqamah dalam usaha kita untuk meninggalkan dosa. Dengan kata-kata lain, kita perlu benar-benar ikhlas dalam bertaubat, benar-benar menyedari kesilapan yang telah dilakukan dan benar-benar berazam untuk tidak melakukannya lagi.
Ingatlah bahawa Nabi Adam diterima taubatnya kerana lima perkara dan iblis tidak diterima taubatnya, juga kerana lima perkara. Nabi Adam a.s. mengakui dosanya, menyesali perbuatannya, menyalahkan dirinya, segera bertaubat dan tidak putus harapan daripada rahmat Allah. Manakala iblis pula tidak mengakui dosanya, tidak menyesali perbuatannya, tidak mencela dirinya, tidak segera bertaubat dan putus harapan terhadap rahmat Allah s.w.t.
Dalam sebuah Hadith yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn `Abbas disebutkan, “Sesiapa yang selalu memohon ampun (beristighfar), Allah akan menjadikan setiap kegelisahan penyelesaian baginya dan setiap kesempitan, jalan keluar dan mengurniakan rezeki (daripada sumber) yang tidak disangka-sangka.”
Selain cenderung melakukan dosa, manusia juga cenderung membabitkan orang lain dalam kesalahan yang dilakukannya terutama untuk menyelamatkan dirinya daripada penghinaan dan hukuman manusia. Ini merupakan perbuatan yang amat keji terutama jika orang yang dibabitkannya itu tidak bersalah sama sekali. Manusia seperti ini seolah-olah lupa bahawa selain kehidupan di dunia ini, ada lagi kehidupan yang lain sesudah kehidupan di dunia iaitu kehidupan di akhirat. Selain itu, ia juga menganggap bahawa yang paling penting baginya pada ketika itu hanyalah perlu terlepas daripada pandangan buruk dan hukuman manusia. Oleh yang demikian, ia sanggup mengunakan apa sahaja yang ia ada demi mencapai hasratnya iaitu menutup segala kesalahan yang dilakukan.
Dalam hubungan ini juga, individu ini akan berusaha sedaya upaya untuk mengaburi mata umum. Ia sanggup berbohong, berlakon dan memberikan keterangan palsu semata-mata untuk membuat orang ramai mempercayai bahawa ia tidak terbabit langsung dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Lebih menyedihkan lagi, jika terlalu mendesak, individu ini akan sanggup menganiayai orang lain, termasuk sahabatnya sendiri untuk mencapai hasratnya iaitu dibebaskan daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Abu al-Qasim al-Hakim pernah ditanya, “Adakah dosa yang dapat mencabut atau menghancurkan iman seseorang?” Jawab beliau, “Ya, ada tiga perkara yang boleh mencabut iman seseorang hamba. Pertama, tidak bersyukur atas nikmat Islam. Kedua, tidak berasa bimbang hilangnya iman dan ketiga, menganiayai orang Islam.” Mu’min sentiasa memanfaatkan segala nikmat dan peluang yang dikurniakan Allah kepadanya untuk meneguhkan peribadinya. Ini kerana, ia meyakini bahawa selain ilmu yang dimiliki, ketaqwaannya menentukan ketinggian peribadinya di sisi Allah. Imam al-Syafi’e pernah berkata, “Demi Allah, keperibadian seorang pemuda ialah dengan ilmu dan taqwa. Apabila tiada ilmu dan taqwanya maka tiadalah lagi keperibadiannya.”
Selain itu, Mu’min ini juga akan sentiasa mengambil pengajaran terhadap semua perkara yang berlaku di sekelilingnya. Umpamanya, musibah yang menimpa seseorang akibat dosa, kemungkaran dan kezaliman yang dilakukannya. Hamba Allah yang mulia ini tidak mudah menghina, memandang rendah terhadap individu tersebut malah akan segera mengingatkan dirinya sendiri agar berhati-hati dalam semua tindakannya selain memohon perlindungan serta petunjuk Allah s.w.t. serta menanamkan perasaan cinta dalam diri terhadap semua bentuk kebaikan.
Ia turut mengingatkan dirinya bahawa sebagai manusia, ia tidak mempunyai jaminan penuh bahawa ia tidak mungkin sama sekali melakukan kesalahan dan dosa yang dilakukannya. Saiyiddina `Umar r.a. berkata, “Cukuplah bagi seseorang (dianggap) tersesat jika ia melakukan tiga perkara. Mencela perbuatan orang lain padahal ia turut melakukannya. Ia nampak kesalahan orang lain tetapi tidak nampak diri sendiri dan ia mengganggu sahabatnya dengan perbuatan yang tidak penting bagi dirinya.”
Sebagai penutup atau kesimpulan, marilah kita sama-sama renungkan sebuah Hadith daripada Rasulullah s.a.w. ini. Dalam Hadith ini, dijelaskan bagaimana hebatnya kemurkaan dan seksaan Allah terhadap dosa yang dilakukan hamba-Nya. Semuanya ini sebagai peringatan kepada mereka semua.
“Antara isi kandungan suhuf kurniaan Allah s.w.t. ialah sepuluh bahagian. Pertama, Wahai Musa, Jangan menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun sebab Aku telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang Musyrikin (yang menyekutukan Allah). Taatilah Aku dan kedua-dua ibu bapamu, nescaya Aku memelihara kamu daripada bahaya serta Aku lanjutkan usiamu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik, kemudian aku pindahkan kamu ke alam yang lebih baik. Jangan membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya menjadi sempit bagi kamu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan bersumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak menyucikan Aku dan tidak mengagungkan nama-nama-Ku. Jangan berasa iri hati terhadap apa yang Ku kurniakan kepada manusia kerana pendengki itu merupakan musuh terhadap nikmat-Ku, menolak akan kembali kamu dengan kemurkaan-Ku di dalam api neraka. Jangan kehendak-Ku, membenci pembahagian yang Ku buat terhadap hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak menjauhi sifat iri atau dengki itu maka ia bukan daripada-Ku. Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak kamu ketahui dengan benar-benar dan kamu ingati dengan akal serta perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atau persaksian mereka.
Jangan mencuri dan jangan berzina dengan isteri jiranmu nescaya Aku hijab wajah-Ku daripada kamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripada kamu. Jangan menyembelih binatang korban untuk yang selain daripada-Ku, sesungguhnya Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan (disertai niat) ikhlas untuk-Ku. Cintailah sesama manusia apa yang kamu sukai untuk diri kamu sendiri dan luangkan hari Sabtu hanya untuk beribadat kepada-Ku. Demikian pula hiburkanlah ahli keluargamu.”
Kemudian, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah menjadikan hari Sabtu itu sebagai hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah memilih untukku hari Jumaat sebagai hari raya.

ANAK TIDAK BERDOSA.

Memang parah dilema anak luar nikah. Bebanan yang terpaksa ditanggung diri dan keturunannya kelak bukan calang-calang. Tatkala bayi-bayi comel yang lahir ke dunia disambut gembira, dia pula disambut dengan simpati & cemik dalam suasana hiba.
Mana tangis syukur ibu sambil memeluk erat dirinya? Mana gema seruan azan dilagukan ayah di cuping telinganya? Mana tawa ria saudara-mara dengan kata-kata pujian dan tahniah buatnya memenuhi sebuah dimensi alam yang baru dimasukinya? Kosong.
Ia bagaikan epilog sedih yang harus dilalui oleh bayi tersebut. Namun, dia masih belum mampu merasai itu semua. Hanya difahami oleh hati-hati yang masih punya sifat kasih sayang dan perikemanusiaan. Hati ibu dan ayahnya, hanya Allah yang tahu sama ada menyesal atau langsung tak kisah!
Apabila bayi yang tidak berdosa itu makin membesar, kesedihan tetap memburu hidup. Bebanan masih tergalas dibahu. Dicaci dan dicela. Manakala satu-persatu kenyataan menyesakkan sanubari perlu dihadapi. Hingga di matanya, masa depan itu samar-samar, seolah-olah hanya mengharapkan takdir memberi sinar harapan.

  • Istilah Anak Tidak Sah Taraf
  • Kita Tetap Hamba-Nya Jua


Menurut laporan yang dipaparkan dalam Berita Harian tahun lepas, terdapat hampir 17, 303 anak tidak sah taraf yang didaftarkan sepanjang 2009. Fenomena peningkatan kes kelahiran anak luar nikah bagai penyakit berjangkit. Semakin terjebak, semakin merebak.
Merujuk kepada persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 5 Safar 1425 bersamaan 26 Mac 2004, anak yang didaftarkan sebagai anak tidak sah taraf boleh diklasifikasikan di bawah tiga keadaan.
Pertama, anak itu ialah anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol. Kedua, anak yang dilahirkan kurang enam bulan dua lahzah Qamariah (bulan Hijriah) dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
Ketiga, anak yang dilahirkan lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar ( pengakuan ) mereka yang berkenaan ( suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya dan tidak diingkari oleh pihak yang satu lagi ), atau adanya 4 orang saksi yang melihat berlakunya zina dan kesaksiannya pula memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Pelbagai dugaan yang perlu ditanggung oleh anak tersebut apabila ingin melangkah ke setiap fasa seterusnya dalam kehidupan. Bahkan, mungkin bertimpa-timpa kesukaran bakal dihadapi ketika dia bakal mendirikan rumah tangga. Penerimaan manusia, sukar dijangka.
Walau bagaimanapun, sebagai sebuah masyarakat yang hidup dalam satu komuniti, jangan terlalu menanam rasa benci pada anak-anak yang sedang diberi ujian di pentas dunia ini. Tidak adil melontar batu-batu penghinaan kepada mereka sedangkan mereka itu ibarat mangsa kepada nafsu serakah yang membuta.
Anak-anak ini juga harus terus kuat menyelusuri terowong-terowong kehidupan yang gelap dan dikelilingi duri-duri tajam. Kita manusia semua adalah sama. Tidak kira bagaimana kita dilahirkan, siapa ibu bapa kita dan bagaimana perjalanan hidup kita. Destinasi syurga itulah yang perlu dijadikan inspirasi perjuangan.
Berpeganglah pada firman Allah, “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa.” (al-Hujurat: 13). Biar di mata manusia engkau bagaikan sampah kerana membawa dosa ibu dan ayah, asalkan di pandangan Allah, engkau umpama permata yang semakin bersinar tiap kali dikeji dan diuji!

  • Sunat Rahsiakan Status Anak Luar Nikah


Dalam Islam, tiada istilah anak lahir di luar nikah itu dengan anak haram. Jika ada yang mengatakan istilah itu ada, sila cari dalam kitab suci al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang menyebutnya demikian.
Sebenarnya, kedudukan anak ini sama saja dengan anak yang lain. Kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT berdasarkan ketakwaannya. Ia juga bukan kerana soal keturunan atau asal usulnya.
Perlu diingat, anak ini tidak berdosa kerana yang berdosa adalah ibunya. Seharusnya, anak ini tidak turut berdosa hanya disebabkan dosa ibunya. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 164:
“Dan tidaklah menanggung dosa oleh seseorang akan dosa orang lain.”
Ibunya pula, jika ia sudah taubat dengan taubat nasuha, maka sucilah si ibu terbabit daripada dosanya dengan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT. Kita tidak boleh mencacinya, baik terhadap anak itu atau ibunya akibat kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila sudah berzina seorang hamba perempuan, maka nyatalah zinanya, maka hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina pula kali kedua, hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina kali ketiga, hendaklah dijualnya walaupun dengan (harga) tali dari bulu.”
Oleh itu, apabila kita mengetahui keadaan dan kedudukan asal usul seseorang yang kurang baik, sunat bagi kita sembunyikan perkara itu dan jangan dihebahkan baik yang berkepentingan atau pun kepada yang lainnya. Kecuali ketika mana ia berbuat mungkar, maka wajib diingkari. Wallahua’lam.